Google Malaysia hari ini, dengan kerjasama Jobstreet.com dan Persatuan Pengiklanan Malaysia (MAA), mengadakan Pameran Kerjaya Google Ignite, ruang untuk graduan program pensijilan Google Ignite mendapatkan tempat latihan industri, sekaligus bekerja secara tetap.
Program Google Ignite dilancarkan di Malaysia pada bulan Julai lepas. Ia merupakan sebuah program latihan selama 3 bulan, yang menumpukan kepada pembangunan kemahiran pemasaran digital berasaskan platform Google.
Sebanyak 3,400 pelajar tahun akhir dari 7 universiti tempatan, menyertai program yang berlangsung dari 1 Julai ini. Lebih 1,000 pelajar menduduki peperiksaan pensijilan Google ini, dengan 661 telah lulus dan menerima pensijilan Google AdWords.
Di Pameran Kerjaya Google Ignite ini, penerima pensijilan Google AdWords boleh mendaftar tempat untuk latihan industri, di salah satu dari 49 syarikat yang terlibat. Antara syarikat yang mengambil bahagian adalah:
- Air Asia Bhd
- DIGI Telecommunications Sdn Bhd
- L’oreal Malaysia Sdn Bhd
- Malayan Banking Bhd
- Maxis Mobile Services Sdn Bhd
- Nestle Products Sdn Bhd
- Proctor & Gamble (M) Sdn Bhd
- Tune Group of Companies
- Unilever (M) Holdings Sdn Bhd
- dan lain-lain
Pelatih-pelatih boleh mendapatkan pengalaman amali & kemahiran profesional yang bernilai. Latihan industri dibuat dalam tempoh tiga bulan, dengan peluang untuk diterima sebagai pekerja tetap.
dari kiri: Connie Ng (MAA), Sajith Sivanandan (Google Malaysia) & Chook Yuh Yng (Jobstreet)
Menurut Sajith Sivanandan, Pengarah Urusan Google Malaysia, pelajar yang tidak menerima tawaran latihan indutri ini tidak perlu bimbang, kerana pensijilan Google AdWords memberi nilai tambah kepada agensi atau jenama digital. Ini memberikan mereka kelebihan untuk diambil sebagai pekerja berbanding yang lain.
Selain memberi ruang kepada pelajar untuk mengembangkan peluang kerja, Google Ignite juga bertujuan memastikan majikan mendapat bakat berkualiti dalam pengambilan kerja berkaitan pemasaran digital. Google merancang untuk mengadakan program ini secara tahunan, dengan penyertaan lebih banyak universiti, tambah Sajith.
Sepanjang tempoh kursus pensijilan Google Ignite, Google menyediakan sumber pembelajaran atas talian Google AdWords kepada universiti terlibat. Modul Ignite meliputi Fundamentals of Search, Advanced Search dan Advanced Display.
Pelajar yang lulus modul Fundamentals of Search serta modul yang lain, akan menerima pensijilan AdWords. Semua latihan dan peperiksaan adalah percuma.
Untuk maklumat lanjut tentang program ini, layari lamanweb Google Ignite Malaysia.